Hukuman awal penjara dua tahun dikenakan terhadap bekas peguam, Subash Hassan, ditingkatkan kepada enam tahun oleh Mahkamah Tinggi George Town.
PETALING JAYA: Bekas peguam dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi George Town kerana menyalahgunakan wang hasil jualan tanah milik anak guamnya berjumlah RM392,000, 10 tahun lalu.
Hakim Rofiah Mohamad mengenakan hukuman penjara lebih panjang terhadap Subash Hassan, dua tahun penjara kepada enam tahun, selepas menyifatkan hukuman diputuskan mahkamah bawahan sebelum ini ‘jelas tidak memadai’.
Subash mengendalikan urusan jual beli sebidang tanah di daerah Barat Daya, Pulau Pinang, 10 tahun lalu.
Peguam pembeli telah membayar RM392,000 ke dalam akaun pelanggan Subash, namun wang itu tidak pernah diserahkan kepada anak guamnya, Ahmad Hussain, mahupun keluarganya sebelum beliau meninggal dunia pada 2021.
Mahkamah Sesyen mendapati Subash bersalah atas pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) tahun lalu dan menjatuhi hukuman penjara dua tahun serta denda RM90,000.
Ketika memerintahkan peningkatan hukuman berkenaan, Rofiah berkata, Ahmad dan ahli keluarganya tidak pernah menikmati wang hasil jualan yang sepatutnya menjadi hak mereka.
Hakim juga berkata, hukuman penjara minimum tidak akan memberi pengajaran atau menimbulkan kegerunan kepada peguam lain.
Rofiah berkata, alasan Subash yang tidak menyerahkan wang tersebut kepada Ahmad atau keluarganya – atas alasan tiada sijil faraid diperoleh – adalah helah yang lemah dan perkara difikirkan terkemudian.
“Ahli keluarga ditinggalkan tangan kosong. Semua ini berpunca daripada pengkhianatan tertuduh.
“Mangsa (Ahmad) meninggal dunia dengan menanggung kekecewaan, kekesalan, dan kesedihan kerana telah mengecewakan ahli keluarganya,” kata Rofiah.


