Shafizi Ismail (kiri) dan Pengarah Projek Arif Ismail (kanan) membawa naik sisa matin dari dasar laut di Pulau Redang.
PETALING JAYA: Lebih satu tan sisa marin dan sampah pantai berjaya dikutip di Pulau Redang dan Pulau Perhentian menerusi sebuah program sukarelawan antarabangsa sejak 2023.
Jumlah itu direkodkan selepas 354.68kg lagi sisa dikumpulkan dalam Program Sukarelawan Antarabangsa Fasa 4: Dive Against Debris di Pulau Redang, semalam.
Penganjurnya Black Eye Scuba Team (BEST) berkata kutipan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan sisa dikumpulkan menerusi empat fasa program berkenaan kepada 1,055.48kg.
Daripada jumlah dikutip di Pulau Redang, sebanyak 56.05kg sisa marin dikeluarkan dari dasar laut oleh penyelam skuba, manakala 298.63kg lagi dipungut sukarelawan di kawasan pantai.
Program itu menghimpunkan 100 sukarelawan antarabangsa dari Nigeria, Bangladesh, Pakistan, Somalia dan China serta pelajar pascasiswazah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia.
Ia juga disertai 31 penyelam skuba.
Peserta tempatan dan antarabangsa yang menjayakan Program Sukarelawan Antarabangsa Fasa 4: Dive Against Debris di Pulau Redang.
Adun Batu Rakit Shafizi Ismail berkata jumlah kutipan itu menunjukkan pencemaran marin masih memerlukan perhatian serius dan tindakan berterusan.
Katanya, isu sisa marin bukan sahaja menjejaskan keindahan pulau peranginan, tetapi turut memberi kesan kepada hidupan laut, terumbu karang dan sumber pendapatan komuniti nelayan.
“Keindahan Pulau Redang adalah aset amat bernilai kepada Terengganu.
“Namun, pencemaran sisa marin, plastik dan pukat hantu yang semakin membimbangkan menuntut tindakan segera daripada semua pihak,” katanya ketika merasmikan program itu.
Beliau berkata data dikumpulkan melalui selaman sukarelawan skuba itu boleh membantu kerajaan negeri dan agensi berkaitan mengenal pasti kawasan yang memerlukan tindakan segera.
Katanya, maklumat berkenaan juga boleh dijadikan asas dalam merangka dasar, memperkukuh penguatkuasaan dan merancang usaha pemuliharaan jangka panjang.
Shafizi berkata data daripada program di Pulau Redang akan dibentangkan kepada kerajaan negeri serta agensi berkaitan untuk tindakan susulan.
Data itu juga akan disalurkan kepada pangkalan data global PADI AWARE Foundation dan Jabatan Perikanan bagi menyokong usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya berkaitan tindakan iklim dan kehidupan di bawah air.


