Kerajaan akan menurunkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia di seluruh negara kepada RM2.10 seliter bermula Julai di bawah program Budi Madani Diesel.
PETALING JAYA: Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata skim subsidi diesel bersasar yang diperluaskan boleh membantu memulihkan keyakinan pengguna selepas sebahagian pembeli menangguhkan pembelian berikutan rasionalisasi subsidi diesel.
MAA berkata permintaan terhadap kenderaan diesel telah merosot dengan ketara sejak harga diesel diapungkan pada Jun 2024, khususnya dalam segmen pikap dan SUV di Semenanjung Malaysia, yang menyaksikan penurunan jualan hampir 25%.
“Subsidi diesel bersasar dijangka menggalakkan pengguna untuk mempertimbangkan semula rancangan pembelian mereka, khususnya dalam segmen pikap yang semakin menjadi kenderaan gaya hidup popular, serta SUV berenjin diesel,” kata MAA dalam satu kenyataan.
Kerajaan akan menurunkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia di seluruh negara kepada RM2.10 seliter bermula Julai di bawah program Budi Madani Diesel.
Ketika ini, diesel dijual pada harga runcit bersubsidi RM2.15 seliter di stesen minyak di Sabah dan Sarawak, berbanding harga runcit tanpa subsidi RM4.07 seliter di Semenanjung Malaysia.
MAA turut menyambut baik keputusan kerajaan memberikan tambahan 100 liter diesel bersubsidi kepada pemilik layak kenderaan pikap dan SUV.
Ini adalah tambahan kepada peruntukan sedia ada sebanyak 200 liter di bawah program Budi Madani Diesel, menjadikan jumlah kuota bersubsidi kepada 300 liter.
Presiden MAA, Shamsor Zain, berkata pihaknya menghargai komitmen kerajaan terhadap pengguna kenderaan yang terkesan akibat kenaikan harga diesel dan berharap Putrajaya mempertimbangkan untuk memperluaskan tambahan 100 liter subsidi diesel itu kepada kenderaan pelbagai guna (MPV).
Shamsor berkata MPV berenjin diesel lazimnya digunakan oleh keluarga besar untuk keperluan pengangkutan harian dan peluasan subsidi ke segmen ini akan memberi kesan fiskal yang minimum kerana MPV diesel hanya merangkumi kira-kira 1% daripada jumlah keseluruhan industri.


