Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof berkata kes diklasifikasikan mati mengejut dan juga disiasat bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki 11 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pangsapuri di Taman Sepakat Indah 2, Kajang, pagi tadi.
Ketua Polis Kajang, Naazron Abdul Yusof, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 mengenai perkara itu kira-kira 7.12 pagi.
Katanya, pengadu memaklumkan terdapat seorang kanak-kanak jatuh dari bangunan apartmen di Taman Sepakat Indah 2.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang kanak-kanak lelaki tempatan berumur 11 tahun yang jatuh dari tingkat 7.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, kes diklasifikasikan mati mengejut dan juga disiasat bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Beliau juga menasihatkan ibu bapa dan penjaga sentiasa memastikan keselamatan anak-anak di kawasan kediaman bertingkat serta memastikan pergerakan kanak-kanak di bawah pengawasan orang dewasa.


