Ketua Penerangan Tun Faisal Ismail Aziz berkata Bersatu menyokong kemasukan Pejuang ke dalam PN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Bersatu menyokong kemasukan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ke dalam Perikatan Nasional, dan membuat bantahan berhubung Parti Cinta Malaysia (PCM), menurut ketua penerangan parti itu.
“Bersatu ingin menegaskan bahawa parti ini menyokong kemasukan Pejuang ke dalam PN dan hanya membantah kemasukan PCM,” kata Tun Faisal Ismail Aziz di Facebook, dalam respons kepada laporan Utusan Malaysia.
PCM dijenamakan sebagai Parti Wawasan Negara, selepas diambil alih oleh bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, dan penyokong beliau.
Utusan Malaysia yang memetik sumber melaporkan keputusan Wawasan dan Pejuang menyertai PN gagal mendapat keputusan sebulat suara anggota majlis tertinggi gabungan itu.
Katanya, 11 anggota MT menyokong manakala lapan menolak, dalam mesyuarat Isnin lalu, dan kelompok yang menolak dikatakan terdiri daripada pemimpin Bersatu.
Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan Wawasan dan Pejuang diterima masuk sebagai parti komponen, selepas mesyuarat itu.
Tun Faisal berkata laporan itu tidak tepat, tidak benar, dan mengelirukan; dan berharap laporan itu dibetulkan bagi mengelakkan kekeliruan.
Semalam, Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, menerangkan bantahan dibuat kerana PN masih berdepan masalah sesama parti anggota selepas PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu, selain mendakwa permohonan PCM menyertai PN tidak teratur.
Menurutnya, perubahan barisan kepimpinan dan perubahan nama PCM kepada Wawasan belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.
Hamzah dalam kenyataan sebelum itu berkata partinya sah menjadi sebahagian anggota PN selepas dijenamakan semula daripada PCM.


