Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov di Istana Presiden di Ashgabat, Jumaat lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Hasil hubungan Malaysia dengan Rusia, Turkmenistan dan Jepun membentuk tiga komponen komersial yang saling melengkapi iaitu jaminan bekalan, penggantian rizab serta kepastian pembeli jangka panjang, kata penganalisis.
Profesor Adjung Universiti Teknologi Petronas, Samirul Ariff Othman, berkata medan domestik yang semakin matang memerlukan syarikat tenaga terus mendapatkan rizab baharu bagi mengelakkan pengeluaran dan hasil menyusut.
Samirul Ariff Othman.
Katanya, atas pertimbangan itu, perjanjian di Turkmenistan mempunyai nilai lebih besar daripada potensi pengeluaran terdekat kerana ia menambah pilihan sumber untuk beberapa dekad akan datang.
Petronas memperoleh 100% kepentingan penyertaan dalam blok luar pesisir 19 dan 20, selain hak menjalankan kajian seismik di blok utara serta kemungkinan menyertai pembangunan medan gas Galkynysh.
“Turkmenistan memiliki antara rizab gas asli terbesar di dunia. Hubungan yang semakin erat antara Malaysia dan Turkmenistan bukan saja membuka peluang komersial kepada Petronas, malah mengukuhkan Malaysia dalam ekosistem tenaga global,” kata Samirul.
Pada bahagian pasaran pula, Petronas LNG menandatangani perjanjian membekalkan sehingga dua juta tan LNG setahun kepada Jera, syarikat penjana kuasa terbesar Jepun, selama 20 tahun mulai 2028.
Perjanjian diumumkan ketika lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Tokyo itu memberi kepastian jualan sehingga dekad 2040-an, dengan bekalan diperoleh terutama dari Malaysia.
Rusia pula menawarkan lapisan perlindungan berbeza selepas Presiden Vladimir Putin memberi jaminan bekalan minyak, gas dan diesel kepada Malaysia sekurang-kurangnya untuk 20 tahun.
Jaminan itu memberi pilihan tambahan kepada Malaysia ketika gangguan geopolitik dan laluan perdagangan meningkatkan risiko bekalan global, walaupun butiran komersialnya masih perlu dimuktamadkan.
Azmi Hassan.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula mengaitkan hasil itu dengan hubungan Anwar dan Putin.
“Memang tidak syak lagi…adalah keakraban hubungan antara Anwar dengan Putin. Putin telah mengesahkan akan membekalkan minyak kepada Malaysia selama 20 tahun akan datang,” katanya.
Bagi penganalisis, kredit wajar diberikan kepada Anwar kerana menggunakan siri lawatan luar negara untuk membuka akses pada ketiga-tiga bahagian rantaian komersial iaitu sumber, bekalan dan pasaran.
Samirul berkata, langkah itu juga menunjukkan Putrajaya mencari pilihan sebelum risiko bekalan menjadi lebih mendesak, ketika kebimbangan terhadap ekonomi dan keselamatan tenaga terus meningkat.
Katanya, negara yang mempunyai jaringan kerjasama pelbagai lazimnya lebih berdaya tahan berbanding negara yang terlalu bergantung kepada satu sumber atau satu pasaran sahaja.
Malaysia belum terlepas daripada risiko harga, penerokaan atau pelaksanaan perjanjian, tetapi hasil di tiga negara itu meletakkannya dalam kedudukan lebih baik berbanding jika bergantung pada satu sumber atau satu pembeli sahaja.
“Lawatan ini menunjukkan bagaimana diplomasi dan ekonomi boleh bergerak seiring…untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap tenaga global yang semakin kompetitif dan kompleks,” kata Samirul.


