Menurut Kementerian Kewangan, program penyasaran subsidi bahan api di bawah Budi Madani membabitkan penggunaan keseluruhan 11.1 bilion liter dan nilai jualan sekitar RM 22.1 bilion, dengan RM11.2 bilion daripadanya adalah jumlah subsidi ditanggung kerajaan.
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan program penyasaran subsidi bahan api di bawah Budi Madani melibatkan penggunaan keseluruhan sebanyak 11.1 bilion liter dan nilai jualan sekitar RM 22.1 bilion, dengan RM11.2 bilion daripadanya adalah jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan setakat 31 Mei 2026.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), sejak krisis di Asia Barat, perbelanjaan subsidi Budi Madani yang telah memberi manfaat kepada hampir 14 juta rakyat Malaysia telah meningkat secara purata sebanyak tiga kali ganda berbanding tempoh sama pada 2025.
“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan program Budi Madani dan melaksanakan penambahbaikan yang bersesuaian dari semasa ke semasa bagi memastikan bantuan disalurkan secara adil, berkesan dan bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” menurut MOF menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
MOF menjawab soalan Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai jumlah individu yang menikmati program Budi untuk bahan api setakat Mei 2026 dan jumlah subsidi yang telah disalurkan.
Menurut kementerian, tiada permohonan perlu dibuat bagi menikmati Budi Madani memandangkan kriteria kelayakan yang ditetapkan adalah jelas dan mudah, iaitu warganegara Malaysia pemegang MyKad yang memiliki lesen memandu sah dan daripada kelas yang layak.
Bagi memastikan golongan yang layak tidak tercicir daripada menikmati bantuan ini, MOF memaklumkan kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah termasuk penyediaan portal semakan kelayakan dan transaksi, pusat khidmat pelanggan Budi Madani dan hebahan berterusan melalui pelbagai saluran media.
MOF memaklumkan, selain itu, kerajaan turut melaksanakan penambahbaikan secara berterusan berdasarkan data penggunaan dan maklum balas yang diterima.

