Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah serah watikan pelantikan penyelaras bagi DUN Chuping kepada wakil PAS Aziz Ahmad. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Kepentingan bersama akan memastikan PAS dan Bersatu di peringkat negeri terus bekerjasama walaupun pemimpin pusat bergeseran, menurut penganalisis.
Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya berkata, kerajaan negeri perlu terus berfungsi walaupun ada pergolakan politik yang serius, maka kerjasama di peringkat itu bukan perkara luar biasa.
Beliau mengulas pelantikan pemimpin PAS sebagai penyelaras DUN Chuping, Bintong dan Guar Ganji di Perlis, oleh Menteri Besar Abu Bakar Hamzah.
Tiga kerusi itu diisytiharkan kosong selepas PAS menghentikan keahlian Adun terbabit, susulan kemelut yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.
Kemelut yang berlaku tahun lalu antara sebab di sebalik terhentinya kerjasama antara PAS dan Bersatu di peringkat nasional.
PAS Perlis merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas pelantikan penyelaras, pada 22 Jun lalu.
“Ini mencerminkan hakikat bahawa politik sering digerakkan oleh keperluan mengekalkan kuasa, kestabilan dan pentadbiran di sesuatu kawasan,” kata Tawfik kepada FMT.
“Pelantikan beberapa pemimpin PAS sebagai penyelaras DUN boleh dilihat sebagai sebahagian usaha menstabilkan keadaan politik negeri selepas krisis tersebut.”
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, kelangsungan menyebabkan perbezaan antara keadaan di negeri dan pusat.
“Kedua-dua parti sedang menyusun strategi yang boleh diterima seluruh rakyat,” katanya.
“Macam Umno dan DAP. Di Johor kata tidak mahu bekerjasama, tetapi di peringkat persekutuan boleh kerana saling memerlukan.”
Susulan kemelut di Perlis, PAS mengumumkan ia menyokong kerajaan negeri namun enggan menerima sebarang jawatan dalam pentadbiran Abu Bakar.


