Onn Hafiz Ghazi berkata pembubaran DUN Johor dibuat selepas memperoleh perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail. (Bernama pic)
PETALING JAYA: Ketua Umno Johor Onn Hafiz Ghazi menjelaskan pembubaran DUN dilakukan mengikut proses perlembagaan dan menafikan dakwaan ia dibuat atas arahan istana.
Onn Hafiz yang juga menteri besar Johor berkata, pembubaran dibuat selepas mendapat titah perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Puad Zarkashi bahawa saya pernah memaklumkan kepadanya kononnya pihak istana telah ‘mengarahkan’ pembubaran Dewan Negeri Johor.
“Apa yang saya jelaskan ialah pembubaran tersebut dibuat setelah mendapat titah perkenan Tunku Ismail, selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor,” katanya dalam di Facebook.
Beliau turut menegaskan, menteri besar tidak mempunyai kuasa untuk membubarkan DUN Johor sesuka hati.
“Mendapat titah perkenan ialah satu proses perlembagaan dan sama sekali tidak bermaksud menerima arahan atau campur tangan politik.
“Justeru, amat tidak bertanggungjawab untuk Puad memutarbelitkan proses perlembagaan yang sah sehingga mewujudkan persepsi kononnya institusi diraja mencampuri urusan dan keputusan politik Umno Johor,” katanya.
Terdahulu, Puad mengumumkan keluar Umno serta-merta berkuat kuasa hari ini selepas mendakwa Umno Johor tidak lagi bebas membuat keputusan dan hanya menjadi ‘boneka yang terikat’.
Bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu mendakwa, Umno Johor tidak bebas membuat keputusan sendiri dan berkata perkara itu diakui sendiri oleh Onn Hafiz kepadanya.
Beliau turut mendakwa, terdapat banyak contoh yang menunjukkan Onn Hafiz hanyalah seorang ‘pak turut’.
Menjawab dakwaan itu, Onn Hafiz berkata Puad berhak meninggalkan Umno dan berbeza pandangan dengan kepimpinan parti.
“Namun, kenyataan sedemikian amat serius dan berpotensi menyentuh sensitiviti 3R, khususnya berkaitan institusi diraja, selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam,” katanya memaklumkan Umno Johor akan membuat laporan polis berhubung perkara itu.


