Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, 48, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan membuat hantaran menghasut di Facebook berkaitan institusi diraja. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Aktivis politik Badrul Hisham Shaharin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan membuat hantaran menghasut melalui Facebook berkaitan institusi diraja, bulan lalu.
Tertuduh yang dikenali sebagai Chegubard, 48, membuat pengakuan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Surita Budin, menurut Harian Metro.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didapati menerbitkan penerbitan menghasut di Facebook menerusi akaun Che GuBard di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah kira-kira 8.30 malam, 26 Mei lalu.
Dia didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah perenggan 4(1) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazali Omar mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali.
Terdahulu, Sazali menawarkan jaminan minimum RM10,000 dan memohon mahkamah mengeluarkan perintah larangan terhadap tertuduh daripada mengeluarkan kenyataan berkaitan isu institusi diraja Negeri Sembilan.
“Alasan permohonan kerana selain kes ini, terdapat beberapa lagi komen atau hantaran yang dibuat tertuduh ada kaitan dengan perkara sama (institusi undang dan adat) dan sebagainya,” katanya.
Manakala Rafique memohon ia dikurangkan kepada RM5,000 kerana jumlah dicadangkan lebih tinggi berbanding denda maksimum mengikut pertuduhan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Mahkamah juga tidak bersetuju mengeluarkan perintah larangan dan jika tertuduh masih membuat hantaran yang berkait isu sama, pihak pendakwaan boleh membuat permohonan bertulis.
Sebutan semula untuk serahan dokumen ditetapkan 3 Ogos.


