Azalina Othman Said rasa tidak puas hati selepas pengumuman calon bukan perkara luar biasa dalam politik, terutama bagi parti besar seperti Umno.
PETALING JAYA: Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said mengingatkan ahli parti kesetiaan dan disiplin sebenar diuji ketika seseorang tidak dipilih sebagai calon, bukan ketika namanya diumumkan.
Tanpa menamakan mana-mana individu, Azalina berkata rasa tidak puas hati selepas penamaan calon bukan perkara luar biasa dalam politik, terutama bagi parti besar seperti Umno.
Katanya, setiap parti pasti berdepan keadaan apabila ada pihak kecewa, terkilan atau merasakan diri lebih layak untuk dipilih.
“Namun, ukuran sebenar seorang pejuang bukan ketika namanya disebut, tetapi ketika namanya tidak dipilih,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu menyusul pengumuman Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi keluar daripada parti selepas membangkitkan rasa tidak puas hati berhubung perkembangan Umno Johor menjelang PRN.
Beliau mendakwa Umno Johor tidak lagi bebas membuat keputusan seperti membabitkan keputusan membubaran DUN Johor bagi memberi laluan PRN dan hanya menjadi ‘boneka terikat’.
Bagaimanapun, Ketua Umno Johor Onn Hafiz Ghazi menjelaskan pembubaran DUN dilakukan mengikut proses perlembagaan dan menafikan dakwaan ia dibuat atas arahan istana.
Onn Hafiz yang juga menteri besar Johor berkata, pembubaran dibuat selepas mendapat titah perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
Azalina turut mempertahankan kepimpinan Umno Johor yang diketuai Onn Hafiz dalam mengurus pemilihan calon, sambil menyifatkan proses itu dilakukan dengan tenang, tertib dan berani.
Katanya, keputusan menentukan calon bukan semata-mata soal siapa mahu bertanding, tetapi siapa paling sesuai memikul amanah pada waktu dan medan diperlukan.
“Dalam politik, keberanian membuat keputusan sering lebih sukar daripada keberanian berucap di pentas,” katanya.

