Perdana Menteri Anwar Ibrahim ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, Dengkil. (Gambar Bernama)
SEPANG: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan tiada arahan dikeluarkan kerajaan bagi menghalang Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Onn Hafiz Ghazi memasuki Felda.
Mengulas dakwaan itu, Anwar berkata tiada mana-mana pihak dihalang berbuat demikian.
“Tak ada (arahan). Tak ada siapa yang dihalang,” katanya ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Jameatus Solehah, Dengkil.
Bagaimanapun, Anwar berkata kerajaan negeri tidak sepatutnya mengharapkan bantuan kerajaan persekutuan bagi program dianjurkannya.
“Tapi, kalau saudara ada rancangan, jalanlah dengan baik, tak ada masalah.
“Tapi, janganlah kerajaan negeri tengah berkempen, kamu nak minta kerajaan persekutuan bantu. Tak bolehlah,” katanya.
Sebelum ini, Onn Hafiz mendakwa beliau dihalang memasuki kawasan Felda untuk menghadiri majlis penyerahan geran hak milik kepada peneroka sempena sambutan Hari Peneroka Felda Johor di Ulu Belitong, Kluang.
Dakwaan itu mendorong Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, menggesa Anwar dan pengurusan Felda menjelaskan pihak yang didakwa menghalang kehadiran menteri besar berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, yang juga menteri bertanggungjawab terhadap Felda kemudian menafikan pernah mengeluarkan arahan atau halangan terhadap Onn Hafiz.
Sementara itu, mengulas dapatan tinjauan Merdeka Center yang meletakkannya sebagai pemimpin politik paling disukai rakyat, Anwar bersyukur dan menganggapnya sebagai dorongan untuk terus memperbaiki prestasi kerajaan.
“Alhamdulillah…tetapi kita sentiasa cuba lakukan sebaiknya, kerja lebih kuat. Jangan kadang-kadang terkulai dengan pujian-pujian,” katanya.
Semalam, dilaporkan Anwar merekodkan tahap sokongan tertinggi dalam kalangan pemimpin politik negara dalam tinjauan terbaharu Merdeka Center, dengan 52% responden berpuas hati terhadap prestasinya sebagai perdana menteri.


