Timbalan Menteri Digital Wilson Ugak Kumbong mewakili KKDW berkata, inisiatif dwifungsi PPKB yang diperkenalkan sejak 2023 bertujuan kurang kebergantungan terhadap premis sekolah yang sering dijadikan PPS ketika bencana. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) membabitkan sembilan negeri dijangka beroperasi secara berperingkat bermula tahun ini, dalam usaha memperkukuh sistem pengurusan bencana negara.
Timbalan Menteri Digital Wilson Ugak Kumbong yang mewakili Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, daripada jumlah itu, masing-masing satu PPKB di Johor dan Pahang telah siap sepenuhnya, sembilan dalam proses pembinaan dan baki empat lagi pada peringkat perolehan serta perancangan.
Beliau berkata, inisiatif dwifungsi yang diperkenalkan sejak 2023 bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap premis sekolah yang sering dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) ketika berlaku bencana.
“PPKB direka khas untuk kegunaan ketika bencana dan berfungsi sebagai kemudahan komuniti pada waktu biasa bagi mengelakkan pembaziran aset awam. Langkah ini juga bagi memastikan sesi persekolahan murid tidak terganggu akibat banjir,” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat.
Wilson Ugak menjawab soalan Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mengenai perancangan kerajaan untuk membina PPKB yang dilengkapi kemudahan asas serta ruang penyimpanan bantuan kecemasan yang lebih sistematik.
Beliau berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kini sedang dalam proses mendapatkan peruntukan pembangunan bagi pelaksanaan pembinaan kemudahan itu untuk fasa seterusnya di seluruh negara, termasuk di Perak.
Menurut Wilson Ugak, setiap PPKB dilengkapi dengan kemudahan dewan terbuka yang mampu menampung sehingga 500 mangsa, blok dewan makan, ruang memasak, bilik rawatan, tandas orang kurang upaya, surau serta ruang khas mesra pengguna bagi mengelakkan tekanan emosi dalam kalangan golongan rentan.
Wilson Ugak ketika menjawab soalan tambahan mengenai kriteria pemilihan dan permohonan pembinaan PPKB di kawasan kerap banjir berkata, pemilihan tapak ketika ini sememangnya tertumpu kepada lokaliti yang sering teruk dilanda banjir.
Bagaimanapun, katanya, sebarang cadangan lokasi pembinaan kemudahan itu perlu melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri terlebih dahulu sebelum dikemukakan kepada Nadma untuk penilaian dan kelulusan.
Sebagai persediaan jangka pendek, Wilson Ugak berkata, Nadma telah meluluskan peruntukan berjumlah RM4.44 juta pada April lepas bagi menaik taraf fasiliti di 25 lokasi PPS terpilih di bawah premis Kementerian Pendidikan.
Selain itu, katanya, bantuan dana penyelenggaraan dan pembaikan kecil sehingga RM50,000 turut disediakan untuk PPS yang diaktifkan selepas tamat musim Monsun Timur Laut bagi memastikan kesiapsiagaan menghadapi bencana akan datang.
“Pengurusan bencana tidak seharusnya diletakkan di bahu Nadma sahaja, sebaliknya ia tanggungjawab bersama yang menuntut pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat membabitkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, sektor swasta serta komuniti,” katanya.

