Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, berkata keputusan PAS tidak meletakkan calon di kawasan ditandingi DAP menjadi sebahagian strategi menyatukan undi bagi calon BN.
PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook mendakwa PAS gentar untuk bersemuka dengan parti itu pada PRN Johor, sebaliknya memilih bergantung kepada ‘proksi’, Barisan Nasional (BN).
Loke berkata, keputusan PAS tidak meletakkan calon di kawasan ditandingi DAP menjadi sebahagian strategi menyatukan undi bagi calon BN, terutamanya daripada MCA, lapor Sin Chew.
“PAS tahu walaupun parti itu meletakkan calon menentang DAP pada PRN ini, ia tidak akan menang dan hanya akan memecahkan undi.
“Sebab itulah mereka memilih pendekatan untuk memindahkan undinya kepada BN dan membantu calon MCA menang,” Loke dipetik sebagai berkata pada satu ceramah malam tadi.
Loke turut menyifatkan PAS sebagai parti tidak berprinsip kerana menyeru penyokong untuk menyokong BN di kerusi tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).
Beliau menggesa penyokong Pakatan Harapan (PH) untuk keluar mengundi pada 11 Julai bagi memastikan gabungan itu mengekalkan kerusi mereka. PH menang 12 daripada 26 kerusi ditandinginya pada PRN lalu.
Loke memberi amaran jika BN menang lebih 50 daripada 56 kerusi disasarkannya pada pilihan raya itu, ia akan menjurus dominasi satu parti tunggal, sekali gus melemahkan kedudukan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang akhirnya menjejaskan kestabilan kerajaan persekutuan.
Katanya, sekiranya BN mencatatkan kemenangan besar, ia akan melenyapkan sebarang keperluan untuk bekerjasama dengan parti politik lain.
“Pengundi Johor mesti keluar beramai-ramai untuk mengundi bagi mengelak landskap politik Johor daripada didominasi secara berlebihan oleh BN,” katanya.
Sebelum ini, bekas Adun Mengkibol daripada DAP, Chew Chong Sin, mendakwa wujud pakatan rahsia antara BN dan PN bagi PRN Johor berdasarkan 33 calon dipertaruhkan PN.
Umno Johor menepis dakwaan Chew itu sambil menyatakan BN tidak pernah mengadakan sebarang rundingan dengan PN.
Awal hari ini, Presiden MCA Wee Ka Siong turut menyangkal dakwaan BN dan PN sedang bekerjasama mengambil alih kerajaan Johor, dengan menyebut empat kerusi menyaksikan dua gabungan itu bertembung sesama sendiri pada PRN ini.


