Pengerusi Aminuddin Harun kata PKR kemuka calon wanita dan golongan muda bagi 16 kerusi. (Gambar Bernama)
SEREMBAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan menyerahkan senarai nama calon bagi 16 kerusi yang bakal ditandingi pada PRN ke-16 kepada kepimpinan pusat untuk dipertimbangkan.
Pengerusi Aminuddin Harun berkata pihaknya mengemukakan sekurang-kurangnya tiga hingga lima nama merangkumi calon wanita, golongan muda dan calon lama bagi setiap kerusi.
Beliau yakin DAP dan Amanah negeri telah menyerahkan senarai nama calon parti masing-masing untuk dipertimbangkan kepimpinan pusat.
“Kita akan selaraskan dengan calon-calon daripada Pakatan Harapan yang lain iaitu DAP dan Amanah dan kita sedang mencari satu tarikh sesuai untuk kita umumkan (calon),” katanya kepada pemberita.
Pada 13 Jun lepas, Aminuddin berkata pembahagian 36 kerusi DUN Negeri Sembilan menyaksikan PKR bertanding 16 kerusi, DAP 11 kerusi dan Amanah sembilan kerusi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 1 Ogos, manakala penamaan calon pada 18 Julai dan 28 Julai bagi pengundian awal.


