Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata pendirian Malaysia telah dimaklumkan kepada timbalan menteri luar Norway dan dutanya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Keputusan kerajaan tidak meneruskan semua perolehan dan kontrak pertahanan dengan Norway adalah wajar dan tepat kerana negara itu dilihat tidak menghormati Malaysia, kata Menteri Pertahanan, Khaled Nordin.
Menurutnya, keputusan itu dipersetujui Jemaah Menteri selepas Kementerian Pertahanan (Mindef) mencadangkan tiada lagi perolehan aset pertahanan baharu dibuat dengan Norway selepas negara itu membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu antikapal (NSM) yang ditempah Malaysia.
Beliau berkata, Jemaah Menteri turut meneliti sama ada pendirian itu, yang hanya terpakai kepada Mindef, akan diperluaskan kepada kementerian lain.
“Apabila mana-mana kontrak yang melibatkan Norway tamat, kerajaan mungkin tidak akan mendapatkan khidmat mereka atau menyambung kontrak itu.
“Ini satu usaha dan tindakan yang saya percaya sangat wajar dan tepat kerana Norway seolah-olah tidak menghormati negara kita dan saya berharap rakyat memahami serta memberikan sokongan,” katanya menurut Bernama pada program Ziarah Kasih di Felda Pasak, Kota Tinggi.
Semalam, jurucakap kerajaan perpaduan, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, Mindef diarah menghentikan serta-merta semua perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan baharu dari Norway selepas membatalkan lesen eksport NSM dan sistem pelancar berkaitan atas alasan melindungi keselamatan negara itu.
Khaled berkata, Malaysia kesal dengan tindakan Norway kerana kontrak itu dimeterai sejak 2018, dengan bayaran dibuat sebelum lesen eksport dibatalkan secara sepihak pada saat akhir tanpa sebarang makluman atau perbincangan dengan Malaysia.
Katanya, alasan Norway bahawa NSM hanya dijual kepada negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan sekutunya tidak meyakinkan kerana negara itu mengetahui keperluan Malaysia untuk memperkukuh keupayaan pertahanan, khasnya rondaan dan keselamatan di Laut China Selatan.
Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata, pendirian Malaysia telah dimaklumkan kepada timbalan menteri luar Norway serta duta negara terbabit dan menekankan hubungan dua hala perlu berasaskan kepercayaan serta saling menghormati.
“Kita tidak lagi percaya kepada Norway,” katanya.
